Ahad, 21 Jun 2009

Tempat makan pilihan aku di PD

Kat PD memang susah nak cari kedai makan yang sedap terutamanya untuk makan malam. Ada restoran yang nampak gempak tapi tak sedap mana pun. Gempak je lebih, harga mahal dari yang lain. Senarai di bawah ni untuk kedai makan taraf restoran pelbagai menu. Kalau nak restoran spesifik jenis makanannya, posting akan datang aku bagitau lagi...

1. Sebelah Lukut - RAH Tomyam

Menu macam restoran tomyam biasa.
Sedap tu boleh la berbanding restoran lain. Harga berpatutan. Lokasi bersebelahan kedai cuci kereta auto RM3.00. Kalau tak sedap, jangan marah aku. Mungkin tak kena citarasa engkorang!! Yang aku sukanya, kalau musim cuti sekolah tak berapa ramai orang. Jadi tak payah nak tunggu lama.

2. Sebelah Pekan PD - Nasi Ayam D'Merah

Kedai ni baru bukak tahun lepas. Nasi ayam dia lain dari yang lain. Bagi aku sedap la. Sais ayamnya tak la ciput macam kedai lain. Kata tokeh restoran ni, dia belajar buat nasi ayam ni masa kerja kat Singapore. Jadi mungkin la resepi ni sama dengan nasi ayam Singapore kot. Cuba la try. Ada juga soto dan nasi bromo (entah apa rasa - aku tak pernah try).

Kalau sebelah malam, restoran ni jual masakan Thai macam kedai tomyam biasa. (malam2 manusia tak makan nasi ayam kot. Ayam pun dah tidur masa ni...)

Lokasi dekat Public Bank Pekan PD. Sebaris kedai lot dengan Al-Rahnu pajak gadai Islam.

Tokeh dia kata (En. Asri 0123153430) kalau nak buat delivery pun boleh tapi at least beli 4 nasi ayam dia boleh hantarkan.

Jadi kepada orang luar yang bercuti di PD dan malas nak keluar makan, boleh la call HP di atas dan buat pesanan melebihi 4 nasi ayam. Kan ke senang... Makanan dihantar ke pintu bilik penginapan anda!

3. Sebelah Pantai Batu 4 - Tara Tomyam

Restoran ni pun macam restoran tomyam biasa. Menu pun macam biasa. Tapi rasa dia boleh tahan la. Tak banyak aku nak ulas. Kalau tak nak pening kepala, boleh la makan kat sini. Kedainya tak cantik mana, yang penting perut sukahati...

Lokasi dekat dengan tempat mandi-manda pantai Batu 4.

4. Sebelah Batu 8 Telok Kemang - Songkhla Tomyam

Kedai ni boleh tahan besar. Seat ada banyak, tapi kalau cuti sekolah, pinggan mangkuk bersepah atas meja pun, pelanggan tolong kemas sendiri. Ada parking lot sebelah restoran, tapi penuh memanjang.

Lokasi berdepan dengan tempat mandi-manda di pantai Batu 8. Pasal tu ramai orang. Kalau time cuti sekolah tu, elakkan diri dari makan di sini. Alasannya – korang kena tunggu lama, meja dan lantai dah makin kotor, pinggan mangkuk kengkadang tak cukup (pengalaman aku sendiri), parking pun payah.... Tapi kalau nak juga, pandai-pandai korang la...

Menu macam biasa- macam kedai tomyam lain jugak....


Ada lagi kedai makan lain yang baru bukak dalam tahun lepas. Tapi aku tak sempat nak rasa lagi, jadi kalau lagi best dari senarai di atas, aku update semula, ok!!! Selamat menjamu selera di PD!!!

Khamis, 18 Jun 2009

3 Tempat Penginapan Pilihan Utama Aku

(Senarai tidak berdasarkan susunan pilihan)

Jika anda mementingkan kualiti, tahap pepuasan dan tahap keseronokan, jangan teragak-agak untuk memilih tempat penginapan ini!!

The Legend Water Chalets
- baru dibuka pada tahun lalu. Paling terbaru di Port Dickson pada ketika ini. Siapa yang tidak sukakan benda baru, kan?
- citarasa binaan berkonsepkan Bali, bahan binaan berkualiti
- chalet mewah tetapi termurah dan value for money di Port Dickson dalam kelasnya

Avillion Port Dickson
- susunan menarik dan rekabentuk mewah
- kolam renang berasingan dewasa dan kanak-kanak
- berhampiran pantai pilihan pengunjung di batu 4

Tiara Beach Resort
- mempunyai kolam buatan manusia terbesar di Malaysia!
- Malaysia's Best Family Holiday Destination 2006 & 2007 !
- The Most Preferred Family Resort in Malaysia 2006/2007 !

Mengapa Port Dickson masih menjadi pilihan pelancong?

Sudah sekian lama, Port Dickson masih menjadi pilihan dan tumpuan pelancong, dari dalam dan luar negera, dari sekitar Lembah Klang atau jauh ke Utara, Selatan mahupun dari Pantai Timur. Jika ditanya dari 10 orang warganegara Malaysia, 5 orang daripada mereka akan mengatakan mereka pernah mandi di pantai Port Dickson atau setidak-tidaknya pernah sampai ke Port Dickson kerana tarikan pantainya.

Pantai-pantai lain di Pantai Barat Tengah dan Selatan Malaysia yang dahulunya kerap menjadi tumpuan pelancong seperti Pantai Morib atau Tanjung Bidara sudah kehilangan identiti, ketiadaan pengunjung dan sudah dilupai rakyat Malaysia, apatah lagi oleh pelancong luar negara. Yang tinggal dan masih menerima kadar lawatan yang tinggi hanyalah Pantai Port Dickson atau Pantai Teluk Kemang.

Walaupun kualiti kejernihan airnya tidak seindah dahulu, namun initiatif yang diambil pihak kerajaan Negeri Sembilan mengganti pasir, melandaikan pesisir dan membina prasarana awam sekitar Port Dickson menambah minat pelancong untuk terus mengunjungi Port Dickson.

Ditambah dengan lokasi strategiknya yang berhampiran dengan Lembah Klang dan KLIA, maka tidak hairanlah Port Dickson masih menjadi pilihan utama pelancong.